Asalnya nama kawasan ini popular di kalangan penduduk Felda Kumai sebagai Air Terjun Bukit Bertangga sebelum dinaiktaraf oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menjadi kawasan hutan lipur yang didaftarkan sekitar 1998-99. Air Terjun Bukit Bertangga ini diberikan nama sempena nama bukitnya iaitu Bukit Bertangga seperti di dalam peta yang dikeluarkan oleh Jabatan Pemetaan dan Ukur Negeri Pahang. Bukit Bertangga mengikut cerita lisan penduduk lama sudah lama diketahui dan ditemui semenjak Felda Kumai mula dibuka penempatan secara rasmi pada tahun 1979 tetapi hanya mula dikunjungi bilamana sebuah syarikat pembalakan meneroka kawasan sekitarnya untuk aktiviti pembalakan dan kemudahan jalan balak yang terbina ketika itu menjadikan ianya mula dihubungkan dengan masyarakat Felda Kumai berbanding perlu merentas denai hutan atau laluan lama.